Skip to content

Profil Tapak

blank
Ladang Tok Pelam (1971)

Satu Ketika Dahulu

Kompleks Ladang Tok Pelam merupakan kompleks masyarakat yang asalnya dianggarkan seluas 13.6 ekar dan terletak berhadapan dengan mercu tanda Kuala Terengganu iaitu Bulatan Batu Bersurat. Kompleks ini pada asalnya terdiri daripada komponen perkampungan, surau, makam dan perkuburan yang mana dikenali sebagai kawasan Ladang Tok Pelam / Ladang Tuan Pelam.

Kampung ini memiliki budaya dan adat  tersendiri serta sistem pengurusan dan penyewaan tanah yang unik. Ini menunjukkan ketinggian ketamadunan dalam pengurusan tanah untuk kemudahan awam. Kampung ini juga terkenal sebagai pusat industri tradisional Melayu Terengganu dengan kewujudan pembuatan songket, batik, pertukangan besi dan tembaga bahkan kulinari yang mana dikenali sebagai tempat Nasi Dagang mula dikomerisalkan.

Rekod rasmi Arkib Negara Malaysia Negeri Terengganu menunjukkan sekitar 1816, keseluruhan kawasan ini milik Haji Abdullah bin Abdul Aziz (Tok Pelam), ulama terkenal Terengganu. Bayaran bagi  menumpang atas tanah milik beliau adalah dengan mengimarahkan surau beliau, menjaga perkuburan serta menyertai kegiatan kebudayaan khas warisan Tok Pelam yang diamalkan sehingga kini.

Hari Ini

Ancaman terhadap kompleks ini bermula pada  tahun 1987 melalui cadangan Kemajuan Semula Ladang Tok Pelam, Ladang Mengabang dan Pantai Motel yang mana bertujuan untuk menyusun semula penempatan Melayu tetapi dalam masa sama masih mengekalkan fungsi kegiatan ekonomi dan kemudahan masyarakat.

Walau bagaimanapun, rancangan berkenaan tidak dilaksanakan dan kawasan ini terpelihara sehinggalah pelaksanaan Rancangan Tempatan Daerah Kuala Terengganu 2008-2030 yang mana menyaksikan Kampung Ladang Tok Pelam digantikan dengan pembinaan Pangsapuri Ladang Tok Pelam, Kampung Ladang Mengabang dan Kampung Pantai Motel digantikan dengan pembinaan jalan baharu Muara Selatan KTCC dan pembinaan Perkedaian Ladang Tok Pelam.

Hari ini, keseluruhan warisan peninggalan Tok Pelam daripada amalan budaya, struktur perkuburan, makam dan surau bahkan sejarah sebenar mengenai Tok Pelam telah terancam oleh pengabaian oleh waris, masyarakat sekitar, pihak berwajib serta penyelewengan fakta oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

blank
Ladang Tok Pelam (2025)